gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

MAJLIS KHATAM AL-QURAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA BAGI TAHUN 1447H/2026M

ISNIN, 26 RAMADHAN 1447H / 16 MAC 2026

Tadarus Al-Quran bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya sempena bulan Ramadhan 1447 Hijrah / 2026 Masihi berakhir petang tadi dengan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Beribi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, diikuti dengan bacaan Juzuk 30 beramai-ramai bersama lapan puluh (80) qari dan qariah yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis diteruskan dengan bacaan Tahtim dan Doa Khatam yang diketuai oleh wakil Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diikuti dengan penyampaian sumbangan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan kepada Yang Mulia Awang Anuar bin Haji Salim, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Imam Masjid Kampung Beribi dan penyampaian sijil penghargaan kepada qari dan qariah serta para wakil Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diakhiri dengan solat Fardhu Maghrib berjemaah dan berbuka puasa.

Turut hadir, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap; Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan); Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang); Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional); Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya; Ketua-ketua Jabatan; para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para ahli Masjid Kampung Beribi.

Majlis ini merupakan aktiviti keagamaan Kementerian Pembangunan bagi meraih pahala dan menyemarakkan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Majlis pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya.

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan