RABU, 24 REJAB 1447H / 14 JANUARI 2026M
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid telah mengadakan lawatan kerja ke Emergency Response Centre (ERC), Bangunan Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya pada Selasa, 13 Januari 2026.
Sesi lawatan kerja dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan taklimat mengenai Emergency Response Centre (ERC) yang disampaikan oleh Ir. Awang Norazmi bin Othman, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya serta taklimat yang disampaikan oleh Pengiran Haji Azman bin Pg Badarudin, Pengarah Saliran dan Pembetungan dan Ir. Awang Haji Mohammad bin Haji Tuah, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Air. Taklimat diakhiri dengan Bacaan Surah Al-Asr beramai-ramai.

Emergency Response Centre ini ditubuhkan bagi tujuan penyelarasan tindakan Kementerian Pembangunan terhadap bencana alam yang dialami oleh negara. Pada masa ini, musim tengkujuh sedang dialami oleh Negara Brunei Darussalam, dimana hujan lebat telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Sejajar dengan rangka kerja Pengurusan Bencana Negara Brunei Darussalam (NDMC), yang menggunakan sistem berperingkat di bawah Prosedur Operasi Standard Kebangsaan (NASOP) dan Incident Command System (Sistem Perintah Insiden), pusat ini berfungsi untuk menangani bencana alam di bawah pengendalian Kementerian Pembangunan. Jabatan Kerja Raya khususnya Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Mekanikal dan Elektrikal serta Cawangan Jabatan Kerja Raya di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong memainkan peranan yang penting dalam menangani bencana alam dengan memberi nasihat teknikal serta mengambil tindakan wajar mengenainya. Dengan penyelarasan pelbagai Jabatan ini serta menggunapakai Prosedur Operasi Standard kebangsaan, Emergency Response Centre diharap akan meningkatkan lagi tindak balas yang lebih cekap dan efisien.

Turut hadir semasa lawatan kerja ini ialah, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan; Sr. Dayang Hajah Norhayati Binti Haji Mohd Yaakub, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan Dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila Binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat Dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai daripada Jabatan Kerja Raya.

-TAMAT-
Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan
