MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
(S.A.W) BAGI KEMENTERIAN PEMBANGUNAN DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA
Sabtu, 16 Rabiulawal 1448H | 29 Ogos 2026M
Berakas
Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (S.A.W) bagi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan. Majlis ini telah dianjurkan oleh Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat Suci Al-Quran yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid, Johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Kebangsaan 2019.

Majlis kemudian diteruskan dengan Ceramah Khas Sempena Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bertajuk “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah“ yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan.

Majlis disemarakkan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban daripada Kumpulan Pendikir Jabatan Kerja Raya dan diselajurkan dengan penyampaian Cenderahati yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Yang Mulia Imam Pengiran Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Hj Hassanuddin, dari Masjid Kampong Sungai Hanching.
Turut hadir di Majlis tersebut ialah Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad, Setiausaha Tetap; Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Setiausaha Tetap; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen, Unit serta Pegawai- Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
Majlis ini diadakan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta menyemarakkan syiar Islam dan memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga Kementerian.

-TAMAT-
Disediakan oleh
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan
pro@pwd.gov.bn
